Aku tak pasti
Sabtu pagi yang tenang. Terlalu tenang sampai subuh aku tatkala jam hampir menginjak ke angka tujuh. Usai subuh, aku harus selesaikan baju-baju aku yang memanggil untuk dibasuh. Penuh sebakul. Sambil tu otak aku ligat merangka apa yang perlu aku lakukan harini. Rugi kalau siakan sabtu aku dengan sekadar melepet di atas tilam yang sejujurnya tidaklah begitu empuk tapi cukuplah buat aku terlena dan terbuai dalam mimpi yang indah. Ohhh alang-alang ada masa baik pergi derma darah, dah berbulan aku lengahkan rancangan aku yang satu ni. Kopi sejuk dalam peti ais terpaksa aku biarkan sepi sebab minum kopi boleh mengganggu bacaan haemoglobin aku yang aku memang selalu sangkut ni. Sementara tunggu mesin basuh siap bekerja, aku habiskan drama korea yang aku baru mula tengok malam tadi. Drama tentang kahwin, politik dan hubungan sulit. Berat sedikit genre dia untuk aku layan tiba-tiba tapi sebab cuma ada lapan episod dan jalan cerita dia cukup menarik untuk aku terus layan. Sejujurnya ini bukan genre biasa aku. Bukan cerita komedi romantik, bukan juga drama jenayah yang biasa aku hadam tapi entahlah cukup menarik untuk aku layan kali ini.
Umur aku tahun ni dua puluh sembilan, hampir ke tiga puluh. Aku tak pasti apa yang berlaku dalam hidup aku setakat ini. Aku tak pasti adakah aku hidup dengan baik selama ini? Adakah aku ni seorang anak yang baik? Adakah aku seorang kawan yang baik? Adakah aku seorang pekerja yang baik? Adakah aku seorang manusia yang baik?
Adakah aku seorang hamba yang baik? Hamba yang taat padaNya. Hamba yang senantiasa bersyukur dengan ujian dan kurniaan dariNya. Adakah aku sebaik itu?
Atau aku sekadar hidup selama ini. Selagi masih bernyawa, aku hiduplah. Jalani hidup sekadar hidup.
Dua tiga bulan kebelakangan ni aku selalu tak pasti. Ketidakpastian tentang hidup. Tak pasti yang tindakan aku ni menjadikan aku manusia bagaimana. Tak pasti nak menjadi seperti manusia apa.
Aku tak pasti adakah aku bahagia dengan hidup yang aku jalani selama ini.
Aku tak pasti adakah keputusan-keputusan yang aku buat selama hidup ini keputusan yang betul.
Aku tak pasti masa depan apa yang aku impikan.
Aku tak pasti angan-angan apa yang perlu aku pasang sekarang.
Aku tak pasti perlukah aku berusaha untuk hidup, dan jika perlu berusaha, aku kene berusaha untuk capai apa? apa yang ada dalam hidup di dunia ini?
Dan ada satu ketika aku rasa tak pasti yang perlukah aku teruskan hidup.
Lintasan fikiran ini muncul sekali-sekala dan menyesak dada. Air mata jatuh. Aku sedih. Entah kenapa.
Kadangkala aku ingin lari. Lari jauh. Jauh dari manusia.
Comments